Kenduri

Semalam, saya menghadiri kenduri meraikan sahabat saya yang menerima menantu bungsu. Alhamdulillah, majlis berjalan lancar. Pengantin nampak masih ceria walaupun masa sudah menunjukkan jam 4 petang dan para petugas sudah mula mengemas dewan. Ada sekumpulan orang mahu masuk bersiap untuk program mereka di sebelah malam.

Semasa makan, saya melihat pengantin sedang asyik bergambar di atas pentas mengikut arahan jurugambar. Almaklum, hari bahagia mereka, jurugambar bebas mengarahkan apa sahaja. Aksi bagaimana pun, semuanya dituruti pasangan pengantin tanpa banyak bicara. Malu? Tolak ketepi dahulu...ini untuk simpanan kenang-kenangan keluarga dan anak cucu nanti.

Saya lihat pasangan pengantin ini memilih warna yang agak 'berani' untuk pakaian persandingan mereka. Saya tidak boleh komen banyak sebab itu pilihan masing-masing. Lagi pun, mereka bukan adik-beradik saya untuk saya suarakan pandangan.

Saya secara peribadi, lebih gemar warna yang lembut, 'pastel colour' begitu. Bagi saya, perkahwinan adalah sesuatu majlis yang suci, penuh makna dan tanda permulaan episod baharu dalam kehidupan pasangan itu. Ia seharusnya dimulakan dengan sesuatu yang lembut dan tenang. Suci dan damai. Seperti warna putih, pink lembut atau hijau pucuk pisang...warna-warna yang mendamaikan...

Begitulah. Semua orang punya citarasa tersendiri. Apa yang nampak cantik di mata kita, tidak semestinya begitu di mata orang lain. Sebab itu Allah jadikan pelbagai warna dalam kehidupan supaya dunia yang sementara ini akan lebih ceria dan bahagia.

Melalui warna sahaja pun, kita dapat melihat betapa uniknya manusia. Pilihan-pilihan seseorang menunjukkan personaliti mereka.

Begitulah. Sekadar untuk memanaskan blog yang sudah lama sepi. Rutin menulis harus diteruskan walau apa pun halangan dalam kehidupan.

Kata guru penulisan saya lakukan apa jua aktiviti yang boleh mendekatkan kita kepada matlamat besar kita iaitu menulis buku. Apa sahaja, jangan berhenti. Kuatkan otot-otot penulisan supaya kamu bertemu rentak penulisan yang lancar.

Insya Allah. Ini azam tahun baharu yang sentiasa diulang-ulang setiap tahun. Semoga Allah merestui dan membantu usaha ini. Allah takkan pernah mengecewakan hamba-hambaNya yang berusaha, berharap dan berikhtiar.

Mudah-mudahan.

Comments