RESENSI BUKU: PEREMPUAN-PEREMPUAN AL-QUR'AN
Maklumat Buku:
• Tahun terbitan: 2015
• Penerbit: Penerbit Zaman
• Jumlah halaman: 416 mukasurat
Pertama kali saya melihat buku ini pada tahun 2015, hati saya tertanya-tanya; apakah buku ini sama seperti buku sejarah wanita Islam yang lain? Yang hanya menceritakan mengenai kisah hidup wanita-wanita terbilang dalam Islam dan peranan serta sumbangan mereka dalam dakwah? Begitu persepsi awal saya kerana banyak buku seperti ini hanya menceritakan apa yang ada di permukaan dan ada kalanya cerita-ceritanya ditokok tambah untuk menyedapkan jalan cerita.
Buku ini adalah karya terjemahan dari naskah asalnya yang bertajuk ‘Nisa’ Fi Hayat al-Anbiya’ ke dalam bahasa Indonesia. Alhamdulillah, saya tidak ada masalah dengan buku-buku berbahasa Indonesia. Malah saya sangat menggemari buku-buku Indonesia kerana bagi saya, bahasa yang digunakan lebih indah. Terasa asyik apabila membacanya walau pun ada beberapa patah perkataan yang saya tidak ketahui maksudnya. Namun, tiada masalah. Google translate kan ada?
Sebaik sahaja saya menyelak helaian demi helaian buku ini, saya jatuh cinta dengan ceritera di dalamnya. Ternyata persepsi awal saya salah sama sekali. Ia bukan sekadar buku sejarah. Bahkan, ia adalah kajian mendalam penulis terhadap setiap tokoh melalui sumber Al-Qur’an, kitab Injil dan Taurat serta beberapa sumber sahih yang boleh dipercayai. Penulis ‘menyuguhkan’ kisah-kisah ini dengan gaya bahasa yang indah, beserta dialog-dialog yang hidup supaya pembaca dapat lebih memahami kisah yang sedang berlaku serta turut merasakan apa yang sedang dialami oleh tokoh-tokoh tersebut.
Penulis membahagikan buku ini kepada 2 bahagian. Bahagian pertama adalah mengenai 14 orang wanita yang berada di belakang para Nabi yang mulia. Diceritakan secara kronologi bermula dari Nabi Adam AS sehingga Nabi Isa AS. 7 daripada mereka ini berstatus isteri iaitu Hawwa, isteri-isteri Nabi Nuh AS dan Nabi Luth AS, Sarah, Hajar, Rahmah (isteri Nabi Ayyub AS) dan Safurah (isteri Nabi Musa AS). Mereka ini adalah simbol keimanan dan pengorbanan selain penyokong paling setia kepada perjuangan suami-suami mereka yang menyeru kepada keimanan dan kebenaran (kecuali isteri Nabi Nuh dan Nabi Luth).
6 orang daripada mereka ini berstatus ibu iaitu Sarah, Hajar, Yokabed (ibu Nabi Musa AS), Elizabet (ibu Nabi Yahya AS), Maryam dan Asiah (ibu angkat Nabi Musa AS). Mereka telah mencurahkan kasih sayang yang luar biasa seta dokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga putra-putra mereka mampu menghadapi segala rintangan dalam perjuangan dakwah mereka. Selain itu, ada juga kisah kakak Nabi Musa AS yang sangat berani dan bijak dalam menghadapi situasi yang mencemaskan. Akhirnya, penulis juga memperihalkan kisah dua orang wanita yang telah memberi pengaruh penting dalam lipatan sejarah seseorang nabi iaitu Zulaikha dan Balqis.
Di dalam bahagian kedua buku ini, penulis menceritakan mengenai para wanita dalam kehidupan Rasulullah SAW yang melatari penurunan ayat-ayat Al-Qur’an yang tertentu. Kita seperti diajak untuk menyaksikan detik-detik penurunan wahyu ini sebagai solusi kepada masalah-masalah yang melingkari kehidupan para wanita ini. Menurut hemat penulis, turunnya ayat-ayat tersebut mengandungi hikmah yang luar biasa dan tujuan yang mulia. Sebahagian daripadanya adalah untuk menjelaskan kaedah dan dasar-dasar syariat, akidah dah feqah yang menjadi pegangan kehidupan Muslim seluruhnya. Contohnya seperti kisah sedih Khaulah binti Tsa’labah yang telah diziharkan oleh suaminya. Rasulullah SAW mengharamkan Khaulah untuk suami. Namun hati Khaulah hancur luluh kerana beliau sangat mencintai suaminya. Hanya kepada Allah diadukan isi hatinya. Dan Allah segera menjawab pengaduannya!
Selain itu, ada juga ayat-ayat Al-Qur’an yang diturunkan untuk menyingkapkan hakikat dan peristiwa-peristiwa yang terjadi serta menghilangkan keraguan yang timbul ketika itu. Itulah kisah isteri kesayangan Rasulullah SAW, Aisyah yang dituduh berselingkuh. Fitnah ditabur merata-rata sehingga Rasulullah SAW sendiri menjauhinya. Aisyah tidak berhenti berdoa sehingga akhirnya Allah sendiri membersihkan namanya. Subhanallah!
Di dalam kedua-dua bahagian ini, penulis turut mencatat kisah para wanita yang terlaknat seperti isteri-isteri Nabi Nuh AS dan Nabi Luth AS yang menolak untuk beriman dan menentang hebat perjuangan suami mereka. Begitu juga dengan peranan Ummu Jamil yang dirakam oleh Allah di dalam surah Al-Masad. Mudah-mudahan kita dapat belajar sesuatu juga daripada mereka ini kerana watak-watak mereka memang tidak asing dalam kehidupan kita hari ini.
Suatu perkara yang menyenangkan hati saya mengenai karya hebat ini adalah pengakuan penulis yang menjadikan Al-Qur’an sebagai keutamaan di kala berada di persimpangan di antara Al-Qur’an, Kitab Perjanjian Lama (Taurat) dan Kitab Perjanjian Baharu (Injil). Malah, beliau juga memberikan fakta-fakta yang konkrit dari segi politik, geografi dan keagamaan mengenai lokasi kisah-kisah ini berlaku melalui kajian beliau yang mendalam. Bahkan, beliau menyingkap beberapa cerita yang jarang diketahui umum yang hanya berada di dalam kitab-kitab klasik dan kuno. Saya percaya, ini bukan kisah-kisah Israiliyyat seperti yang banyak terdapat dalam kisah-kisah para Nabi terdahulu.
Tema besar yang ingin dibawa oleh penulis adalah mengenai peranan wanita yang tidak kalah pentingnya berbanding lelaki. Mereka adalah mutiara yang menyinari perjuangan dakwah para nabi dan mencatat sejarah di sepanjang kehidupan Rasulullah SAW. Kisah-kisah mereka ini dirakam Al-Qur’an sebagai pengiktirafan kepada pengorbanan mereka yang tiada taranya ini dan menjadi sumber teladan iman dan akhlak kepada generasi hari ini.
Mudah-mudahan Allah merahmati penulis ini dan memberinya kekuatan untuk terus menulis kisah wanita-wanita terbilang yang lain yang turut berperanan penting dalam perjuangan Rasulullah SAW. Dan semoga kita turut sama dapat meneladani para wanita ini, mengambil semangat dan citra mereka supaya kita tidak hanya menjadi wanita yang mengelap pinggan mangkuk di dapur namun menjadi sumber inspirasi keluarga untuk tetap berpegang teguh kepada iman dan syiar Islam di zaman ‘edan’ ini.


Comments
Post a Comment